Friday 9 August 2013

Dr Haji Abbas bin Haji Alias (1914-2004)


His biography in Biography of the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore
https://www.facebook.com/

This is a re-post from the blogspot: http://groups.yahoo.com/group/dunia-politik/message/2421

Mengenang Dr Abbas Alias (1914–2004)
Monday, September 06 @ 16:41:59 MYT


Oleh Ahmad Lutfi Othman

SELALUNYA apabila dirujuk sejarah perkembangan PAS, ramai – bahkan ahli-ahli PAS sendiri -- tidak mengenali pemimpin besar parti itu, terutama sebelum era Dr Burhanudin Al-Helmy – Zulkifli Mohamad. Malah kalau ditanya siapa presiden terdahulu PAS, yang terlintas di fikiran, selain kedua-dua tokoh tadi, ialah Almarhum Asri Muda, Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Sedangkan asas kekuatan PAS di peringkat awal penubuhannya diusahakan, antara lain, oleh Almarhum Dr Abbas Alias, Yang Dipertua Agung PAS kedua. Bagi mereka yang mengikuti sejarah, beliau sering diingati kerana sumbangan besarnya di waktu parti Islam itu melalui saat-saat kritikal selepas Haji Ahmad Fuad meletakkan jawatan pada 26 September 1953 ekoran pertikaian sama ada mahu menyertai rundingan kemerdekaan anjuran UMNO dan MCA (National Convention) ataupun Dato’ Onn Jaafar (National Conference).


Majoriti pimpinan PAS yang bermesyuarat di pejabat agung PAS ketika itu, Madrasah Masriyah, Pulau Pinang, cenderung kepada National Convention, sedangkan Yang Dipertua Agung, Ahmad Fuad yang merupakan penyokong paling setia Onn memilih National Conference. Keputusan dibuat melalui pengundian.

Pemimpin yang baik



Kepimpinan PAS terpaksa dipegang oleh Dr Abbas, Timbalan Yang Dipertua Agung, yang ketika itu berada di New Delhi kerana menghadiri satu seminar anjuran WHO. Beliau hanya tahu Ahmad Fuad meletakkan jawatan sekembalinya ke tanahair. Almarhum Asri Muda menyifatkan “Dr Abbas adalah seorang yang baik, yang boleh diberikan kepercayaan sebagai seorang pemimpin. Tetapi oleh sebab beliau berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, maka beliau tidak dapat memberikan khidmat sepenuh masa.”


Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri menyifatkannya sebagai “penyelamat”. Ini kerana Dr Abbas meletakkan asas kukuh buat PAS menghadapi cabaran sengit selepas itu terutama bila beliau berjaya mendaftarkan Persatuan Islam Sa-Malaya (Pan Malayan Islamic Party) beberapa minggu sebelum pilihanraya 1969. Difahamkan beliau mendapat bantuan dari kenalan baiknya, berbangsa India, ketua kerani di Pejabat Pendaftaran Malaya, di Pulau Pinang, yang kebetulan pernah dirawatinya.


Ketika mula dilantik mengetuai PAS, dengan rendah diri beliau berkata: “Saya mengambil tempat ini kerana saya ingin melihat pergerakan berasaskan agama ini maju dan berkekalan.” Dalam masa sama, beliau memuji sikap Ahmad Fuad, yang walaupun meninggalkan parti tetapi tidak pernah mengeji PAS. Ternyata beliau tidak senang jika ahli-ahli PAS secara sembrono mengecam bekas ketua PAS itu.


Bagaimanapun pastinya ramai tidak mengetahui pendirian tegasnya menolak pelawaan bekas Menteri Besar Selangor kedua (1949-55) dan Gabenor Pulau Pinang (1957-67), Raja Tun Uda Raja Mohamad (ketika itu Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor), bagi mempelopori penubuhan UMNO di negeri itu, pada lewat 1940-an. Namun tidak dapat dipastikan jemputan itu atas inisiatif peribadi Tun Uda ataupun sebagai mewakili Tunku Abd Rahman.


Menurut anak sulungnya, Taib Abas -- bekas wartawan yang juga penulis buku-buku mengenai Freemason, sebuah gerakan sulit Yahudi -- Dr Abbas menolak secara lembut pelawaan itu sambil menegaskan dia hanya tahu politik Islam. “Corak politik lain (seperti dibawa UMNO), saya tak tahu,” kata Dr Abbas. Maknanya, sejak awal Dr Abbas dapat membayangkan kecenderungan masa depan politik UMNO yang tidak diasaskan kepada ajaran Islam.

Jika tidak, mungkin Dr Abbas dilantik MB Selangor yang pertama selepas Merdeka! Nyata beliau tidak memilih kedudukan dan kuasa, sebaliknya menurut nuraninya yang mahu bersama pertubuhan yang hanya memperjuangkan politik Islam.
“Melihatkan banyaknya buku-buku tentang penubuhan negara Pakistan di rumah, saya kira arwah mendapat inspirasi dari sana. Pendeknya, dia hanya tertarik dengan politik Islam,” cerita Taib. “Semasa kecil beliau bercita-cita menjadi peguam, tetapi tidak dipersetujui ayahnya, Hj Alias, Kadhi Setiawan,” kata Taib. “Datuk saya kata, peguam banyak cakap tak betul,” tambahnya, sambil ketawa kecil.

Malaya kepunyaan bangsa Melayu

Sikap dan pendirian tegas PAS di bawah Dr Abbas (walaupun tempohnya pendek, tiga tahun dua bulan) khususnya mengenai rundingan kemerdekaan dan kelayakan mengundi terakam baik dalam sejarah. Asas ketuanan Melayu dalam sebuah negara merdeka ditekankan oleh PAS kepada Rombongan Merdeka ke London. PAS mengingatkan rombongan itu, “janganlah sama sekali melupakan bahawa Malaya atau Tanah Melayu ini kepunyaan bangsa Melayu dan bangsa Melayu berhak terhadap untung nasibnya.”

PAS juga membantah prinsip Jus Soli yang dicadangkan Perikatan yang memudahkan rakyat asing mengundi. UMNO dilihat mempertaruhkan maruah dan kehormatan Melayu semata-mata kerana mahu merdeka.

Mengenai kesediaan PAS menyertai rundingan Merdeka tajaan UMNO, Asri menyimpulkan: “Ia merupakan satu sejarah bagaimana kerjasama antara PAS dengan parti-parti lain dapat diadakan bila-bila masa saja, terutamanya apabila menghadapi sesuatu masalah yang besar, yang hendak diperjuangkan.” Dr Abbas digantikan oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi sebagai YDP PAS ketiga, pada 25 Disember 1956, dalam muktamar ke-5.

Beliau mendapat pendidikan di Universiti Singapura, seterusnya mengikuti kursus lanjutan di London. Beliau pernah mendalami ilmu pentadbiran kesihatan di bawah Rancangan Colombo, di Kanada. “Meskipun beliau seorang profesional tetapi jiwanya melekat kukuh kepada perjuangan Islam, yang dipelopori ulamak,” kata seorang aktivis PAS yang pernah berkempen untuknya ketika Dr Abbas bertanding di Titiwangsa.

“Beliau sentiasa mendalami ilmu-ilmu agama, hampir setiap malam dia mengikuti kuliah agama di masjid-masjid, tabiat yang dimulakan ketika muda sehingga ke usia lanjutnya. Banyak amalan yang diamalkan setiap hari diperolehi dari kuliah-kuliah berkenaan,” kata Taib lagi. “Dia bukan hanya mendengar tetapi sentiasa membawa buku catatan. Beliau mengingatkan saya, dalam politik Islam tiada istilah pencen. Sebab itu beliau bersedia dilantik AJK PAS Pusat kemudiannya walaupun pernah menjadi tokoh no. 1 PAS.”

Sekitar tahun 50-an dan 60-an, Dr Abbas kerap ke Makkah, mengetuai rombongan perubatan jemaah haji, sehingga digelar “Dr Haji”. Beliau menubuhkan ‘cawangan’ PAS di sana, yang dianggotai orang-orang Melayu yang bermastautin di Makkah.

Merintis jalan

Meskipun terikat dengan Peraturan Am Kerajaan, ke mana saja Dr Abbas bertugas, yang pastinya beliau akan menyediakan tanah yang subur buat perkembangan PAS di situ. Beliau pernah menjadi ketua perubatan dan kesihatan di Terengganu, Perak, Pahang dan Melaka. Malah PAS menemui tapak kukuhnya di Kelantan terutama mempengaruhi tok-tok guru pondok terkemuka ketika era Dr Abbas. Dua ranting PAS di Johor berjaya ditubuhkan pada tahun 1954.

PAS yang bermula di Perak dan kemudian berkembang ke Pulau Pinang mendapat laluan mudah ke Terengganu ketika Dr Abbas berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perubatan Terengganu. Dalam buku “Memoir Politik Asri”, bekas YDP PAS itu mencatatkan: “Maka dengan kerjasama Dr Hj Abbas, saya mendapat banyak kemudahan untuk mengembangkan PAS di Terengganu. Banyak kesempatan mengadakan penerangan secara terbuka daan dengan langkah yang dijalankan secara rapi, PAS memperoleh beberapa pemimpin tempatan.”

Mungkin golongan profesional yang kini membanjiri PAS dapat mengambil iktibar dari pengalaman Dr Abbas itu. Beliau bijak memperuntukkan masa antara kerjaya sebagai pegawai perubatan dengan kerja-kerja jamaah, terutama pada peringkat mengasaskan kekuatan di kawasan-kawasan baru.

Dr Abbas pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor. Almarhum dilantik Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Kuala Lumpur, yang merupakan masjid terulung ketika itu, yakni sebelum terbinanya Masjid Negara. Beliau meninggalkan seorang balu, Toh Puan Azizah Hassan dan 12 anak. Seorang darinya mengikut jejak beliau sebagai doktor, iaitu Dr Siti Fathimah, radiologis di Hospital Besar Melaka.

Pembaca setia Harakah

“Di akhir usianya, beliau tetap setia mengikuti perkembangan parti melalui Harakah. Malah ketika uzur beliau meminta anak bongsunya membaca untuknya,” kata Taib. “Bila mendengar cadangan PAS menimbang keanggotaan bukan Islam sebagai ahli bersekutu, katanya, itu cadangan yang baik.”


Saya amat bersetuju dengan cadangan awal untuk mengabadikan nama Almarhum Dr Abbas pada mana-mana sekolah, dewan, atau pusat tarbiyyah PAS sebagai mengenang jasa, ketokohan dan sumbangan beliau terhadap pemantapan asas politik Islam di negara ini. Al-Fatihah buat tokoh profesional ulung PAS yang berjiwa ulamak itu. - zs

Source:
https://groups.yahoo.com/neo/groups/dunia-politik/conversations/topics/2421

External link:
Dr Siti Fathimah bt Datuk Dr Haji Abbas Gmail LinkedIn